Tuesday, August 17, 2010

JANGAN SAKITI RASULULLAH S.A.W



Utusan Malaysia 7 Mei 2010

Oleh : SYEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI


SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, "Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup." (Riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu’ara’ yang bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu ‘Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An’aam:131, al-Syu’araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.

Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An’aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn ‘Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, "Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta’dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-’Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum’ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment